RAWANG, 16 NOVEMBER 2024
Koperasi Tenaga Nasional Berhad (Koperasi TNB), dengan kerjasama Kelab Kilat Rawang, Yayasan Amal Tenaga, dan Kelab Kilat Bikers, telah menganjurkan Program Ride Amal 1.0 ke Ipoh, Perak. Program ini telah dirasmikan oleh Encik Zulkefle bin Ab Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi TNB.
Program sulung ini melibatkan 84 peserta bersama 51 buah motosikal, memulakan perjalanan dari TNB Sungai Dua, Rawang ke Ipoh, Perak. Salah satu destinasi utama program ini ialah Masjid Al-Ittihadiah, Kampung Tengku Hussein, Ipoh, di mana sumbangan tajaan Yayasan Amal Tenaga telah disampaikan. Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Encik Azizan bin Hussin, Setiausaha Koperasi TNB. Antara sumbangan yang disalurkan ialah 20 set bakul makanan kepada ibu tunggal, selain wang tunai yang dikumpulkan daripada peserta Ride Amal 1.0.
Selain itu, Koperasi TNB bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Ittihadiah turut menganjurkan beberapa aktiviti pada hari tersebut, termasuk sesi tazkirah yang disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Suhaimi bin Latif, Pensyarah Ma’ahad Al-Ummah, diikuti dengan jamuan makan untuk komuniti setempat.
Program Ride Amal 1.0 ini bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan di antara Koperasi TNB dan anggotanya, tetapi juga menyumbang kepada pihak yang memerlukan, sejajar dengan komitmen Koperasi TNB terhadap tanggungjawab sosial.