3 Ogos 2024, Kuantan
Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi (MAPT) Ke-73 Koperasi TNB telah diadakan di Swiss Ballroom, Swiss-Belhotel Kuantan, Pahang. MAPT73 telah di pengerusi oleh YBhg Datuk Nor Azman bin Mufti @ Jaafar, Pengerusi Koperasi TNB. Seramai 205 perwakilan dari seluruh semenanjung Malaysia telah hadir ke MAPT73.
MAPT73 kali ini mencatat sejarahnya tersendiri apabila buat julung kali menggunakan proses teknologi digital dengan mengetengahkan pembaharuan bermula pendaftaran sehinggalah pengundian menggunakan teknologi pendigitalan yang dibangunkan oleh pekerja Koperasi TNB serta dibantu oleh syarikat pembangunan sistem yang dilantik.
Antaranya pra-pendaftaran, yang mana perwakilan boleh mendaftar pengesahan kehadiran dengan aplikasi MyKopTNB. Seterusnya setiap kali pengesahan kehadiran ke setiap majlis sepanjang MAPT73 ini, perwakilan hanya perlu imbas kod QR. Begitu juga dengan pengundian, para perwakilan boleh membuat pengundian di atas talian menggunakan peranti yang telah disediakan oleh pihak Koperasi TNB.
MAPT73 juga telah meluluskan pembayaran agihan dividen sebanyak 15% yang meliputi dividen atas Modal Syer sebanyak 9.5% dan dividen atas Modal Yuran sebanyak 5.5%. Jumlah bayaran dividen ini adalah berdasarkan pada keuntungan bersih kumpulan Koperasi TNB bagi tahun 2023 yang berjumlah RM18,826,198.00.
Perwakilan juga telah meluluskan pembukaan Koptown Ar-Rahnu Cawangan kedua di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor. Perwakilan juga telah memberikan mandat kepada Koperasi TNB untuk membuka 10 cawangan Koptown Ar-Rahnu dalam tempoh 10 tahun.
4 daripada 10 calon Anggota Lembaga Koperasi TNB bagi tahun 2024/2027 juga telah dilantik melalui pengundian yang dijalankan. Antara yang dilantik oleh perwakilan ialah Encik Azizan bin Hussin, Encik Norazli bin Abu Bakar, Encik Mohd Rizal bin Mohamed Sidek dan Encik Saiful Bahari bin Hashim.